SMK Sultan Tajul Ariffin merupakan sebuah gedung ilmu yang hebat.
Doa yang dipinta bersama ibu setelah tamat balajar adalah untuk 'diposting'kan
ke sekolah terbaik buat diri ini. Ibu menambah lagi dalam doa beliau sewaktu
selepas solat maghrib untuk sekolah cikgu nanti bersebelahan masjid dan
ditengah-tengah Perak. Kata ibu sebelah masjid agar sentiasa ingat Tuhan, di
tengah Perak supaya cikgu dekat dengan saudara mara lain yang ramainya di Perak.
Alangkah terkejutnya sewaktu hari pertama di sini, segala yang dipohon
diperkenankan.
Tahun 2015 kenangan yang paling manis dan bermakna buat
cikgu. Pada tahun ini cikgu memperoleh 2 pengiktirafan di peringkat kebangsaan,
ditauliahkan Lt. Muda Pertahanan Awam, menamatkan kursus Pro-ELT (British
Council), disenarai pendek dalam senarai biasiswa sarjana HLP, bergelar juri
bertauliah Silat Seni serta memperolehi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Satu
pengembaraan yang penuh cabaran dan suka duka.
Kelemahan cikgu dalam hidup adalah cikgu suka mencuba
perkara-perkara baru.Teringat lagi semasa menyertai seni beladiri 'tomoi'
setelah tamat tingkatan 6. Hampir setiap malam selama dua bulan kami di
gelanggang. Tidak kerana gagal mendapatkan keizinan keluarga, cikgu sudah ke
Pulau Phuket bersama 2 rakan lagi menuntut ilmu selama sebulan disana. Di
Universiti Sains Malaysia (USM) cikgu menyertai perkara yang lari daripada
keselesaan cikgu. Cikgu mewakili USM ke pertandingan debat diraja yang pada
ketika itu dianjurkan di UNIMAS, Sarawak. Cikgu juga menyertai program
keusahawan sosial SIFE (kini Enactus) juga mewakili USM. Menyertai sesuatu yang
baru memberi kita suatu perspektif yang berbeza untuk melihat dunia seterusnya
memberi kesan kepada cara kita berfikir.
Mencuba perkara baru adalah baik jika anda dapat mengekalkan
fokus dan keghairahan. Sebenarnya untuk belajar perkara baru apa yang penting
adalah 20 jam yang pertama. Ianya mengenai sejauhmana anda fokus dan betul
tindak tanduk dalam tempoh masa tersebut; mengetepikan segala gangguan lain
seperti decipan peti whatsapp, laman sosial, hiburan TV dan sebagainya.
Strategi yang betul dalam 20 jam pertama akan memberi impak yang padu lantas
memberi kita motivasi untuk melangkah lebih jauh.
Tendang mula amat penting. Sebagai contoh untuk persediaan
ke tempat kerja baru yang mencabar sebagai GPB, cikgu menyertai bebarapa
persidangan teknologi pendidikan seperti 3i Google for Education, Education on
Air, GEG dan beberapa siri webinar untuk memantapkan diri dengan teknologi
pendidikan terkini. Selain itu cikgu
juga mendisplinkan diri dengan menulis di blog setiap hari selama 4 bulan
(tanpa gagal) berkongsi informasi terkini pendidikan sehinggakan blog Cikgu
Siber yang diusahakan diiktiraf sebagai blog pendidikan ketiga terbaik
kebangsaan pada karnival e-Pembelajaran NUCEL 2015.
Cikgu juga dijemput sebagai pasukan pakar Asks The Expert pada persidangan
pendidikan Leaps of Knowledge 2015 yang dihadiri ribuan peserta dari seluruh
negara. Disamping itu, cikgu juga telah diberi anugerah 1BestariNet Teacher Awards 2015 (HM for Best Advocate Teacher) pada peristiwa berkenaan. Strategi, minat, pengorbankan masa dan wang ringgit menjadi faktor
utama, namun keghairahan terhadap sesuatu ilmu penentu kepada kejayaan kita.
Khas untuk pelajar-pelajar Semesta Studio, sepanjang 5 tahun kita telah memulakan satu kelab yang hebat, sebuah kelab yang akan sentiasa diingati dalam sejarah panjang penubuhan sekolah tercinta ini. Kelab ini ditubuhkan atas semangat, kepercayaan serta pengorbanan, semoga legasi ini dapat diteruskan untuk memberi peluang kepada generasi akan datang.
Terima kasih untuk semua warga semesta. Kenangan bersama kalian tidak
dapat dilupakan. Misi cikgu 5 tahun di Semesta sudah selesai, tiba masa guru
kecil ini mengorak langkah meneroka dunia baru. Semoga saya dan anda semua berjaya dunia
dan akhirat, inshaallah.
Yang Ikhlas.
Cikgu Razif
No comments:
Post a Comment