Saturday 3 January 2015

Kenali Mamat Khalid


Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Bin Mohd Khalid ialah seorang penulis lakon layar dan pengarah filem di Malaysia. Beliau ialah adik kepada kartunis Datuk Lat.

Sebelum menceburi bidang perfileman, Mamat bekerja dalam jabatan kerajaan, kemudian beralih ke bidang penerbitan rancangan televisyen. Antara karya-karya Mamat yang terkenal termasuk Pinang Durian, Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel dan Abang We. Beliau pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin Panca Delima 2001 untuk telefilem Pinang Durian.

Penglibatan sulung beliau dalam industri perfileman Malaysia adalah apabila beliau mula-mula mencadangkan sebuah siri televisyen yang mengisahkan legenda Puteri Gunung Ledang. "Pada mulanya, saya bercadang menjadikannya projek kecil-kecilan untuk stesen televisyen ntv7 dalam bentuk bersiri. Saya cuba memecahkan projek itu kepada 20 episod yang bukan saja dimuatkan dengan cerita hikayat Melayu lama PGL malah sarat dengan hikayat lain seperti Badang Pahlawan Gagah dan sebagainya." Bagaimanapun, Enfiniti Productions yang menerima cadangan Mamat itu menukarkannya menjadi sebuah filem untuk tayangan pawagam, arahan Saw Teong Hin yang dibintangi oleh Tiara Jacquelina dan M. Nasir. Filem Puteri Gunung Ledang yang menelan belanja lebih RM 16 juta, iaitu filem Malaysia yang paling mahal dalam sejarah, sungguhpun dilaporkan tiketnya cepat dijual habis, namun hanya mampu mengaut hasil RM 2.90 juta sejak keluar pada bulan Ogos 2004. Namun demikian, filem ini turut menikmati tayangan khas di festival filem luar negara, iaitu di Venice dan di Los Angeles.

Pada tahun 2003 juga, Mamat menjadi pengarah filem buat kali pertama, iaitu filem komedi Lang Buana yang dibintangi oleh kumpulan Senario. Mengikut penerbit eksekutif Grand Brilliance ketika itu, Lazizah Ahmad, filem Lang Buana memakai 'formula yang serba berlainan' seperti yang dicadangkan oleh Mamat yang ingin cerita yang lebih mencabar. Filem yang menelan belanja RM 1.76 juta ini mengaut kutipan sebanyak RM 1.79 juta dari 27 buah pawagam.

Minatnya terhadap muzik rock diakui mengilhamkan beliau untuk menulis dan mengarah filem Rock pada tahun 2005 Mengikut satu ulasan, Mamat dikatakan mesej bahawa dilema yang dihadapi ramai pemuzik berbakat pada zaman kegemilangan rock 1980-an: "Itu yang cuba Mamat ketengahkan menerusi watak Zack (lakonan Hasnul Rahmat). Anak muda yang berjaya meraih trofi gitaris terbaik ini terpaksa memilih antara memenuhi kemahuan keluarga, kawan dan teman wanita." Filem inilah yang mengurniakan anugerah pertama Mamat dari Festival Filem Malaysia, iaitu untuk Lakon Layar Terbaik.

Pada tahun 2006, Mamat membuat penampilan sebagai juri jemputan di Akademi Fantasia, biarpun tidak dikenali memegang apa-apa peranan dalam industri muzik selain menjadi pengarah muzik dalam filem. Pada tahun yang sama, beliau kembali menghasilkan filem drama melalui Man Laksa yang memberikan dua pencalonan Festival Filem Malaysia. Di samping itu, beliau mencuba genre komedi seram menerusi filem Zombi Kampung Pisang, filem buatan Malaysia pertama yang menampilkan puaka zombi (mayat hidup).


Ketika memberi ucapan semasa Anugerah Skrin selepas dinobat Pengarah Filem Terbaik Anugerah Skrin untuk filem Kala Malam Bulan Mengambang Mamat turut mencabar diri dengan membikin sebuah filem hitam putih pada abad ke-21, iaitu Kala Malam Bulan Mengambang (2008), sebuah filem noir yang dibintangi Rosyam Nor dan Umie Aida. Biarpun dilaporkan kurang mendapat sambutan penonton walaupun dihujani ulasan positif, namun filem ini berjaya merangkul lima anugerah di FFM, termasuk Filem Cereka Terbaik dan Pengarah Filem Terbaik.

Filem Estet arahan Mamat Khalid keluar pada tahun 2010, menceritakan kisah hubungan antara orang Melayu dan India di sebuah perkampungan getah, sebagai azamnya untuk memaparkan keeratan persaudaraan sesama kaum di Malaysia melalui filem. Sungguhpun mendapat pujian pengulas filem, namun kutipannya di pawagam agak mengecewakan dengan hanya RM 350,000 dari 47 buah pawagam. Meskipun begitu, Mamat Khalid sekali lagi merasai kejayaan besar selaku sutradara apabila Hantu Kak Limah Balik Rumah menjadi filem tempatan kedua tertinggi kutipan kasarnya di negara dengan RM7.9 juta dari 39 buah pawagam, mengekori filem Ngangkung sahaja.

Mamat juga sedang mengusahakan filem animasi pertamanya, berjudul Kelip-Kelip yang dilaporkan menerima khidmat lakonan suara Datuk Siti Nurhaliza.

Sumber: Wikipedia.org

Semesta Studio: Bagi kami Mamat Khalid wajar diangkat sebagai satu ikon perfileman melayu atas usaha beliau menghasilkan sebuah filem yang bermutu, berbeza dan mempunyai 'jiwa'. Saya bersama pelajar cuba 'bertanya khabar' sewaktu Karnival Media Kreatif 2012 sewaktu beliau menjurikan filem pendek namun tiada kesempatan bertemu beliau, inshaallah ada rezeki akan bertemu jua.






No comments:

Post a Comment